Sabtu, 29 Oktober 2011

Review Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2011

Setiap tahun kejohanan Piala Malaysia merupakan satu kejohanan yang cukup penting dalam sukan bola sepak tanah air. Bagi tahun ini pula dua gergasi dari pantai timur dan selatan negara berentap bagi menjuarai Piala idaman seluruh negara ini iaitu Terengganu si sang penyu bertemu Negeri Sembilan si rusa. Negeri Sembilan bukanlah asing dalam kancah Piala Malaysia. Mereka berada di perlawanan akhir tiga tahun berturut-turut. Mereka memenanginya pada tahun 2009 kemudian tewas kepada juara baru Kelantan pada 2010 dan kembali menjuarainya tahun ini. Negeri Sembilan yang dibimbing oleh Azrai Khor yang juga pernah membawa Kedah memenangi piala ini terlebih dahulu sebelum ini. Manakala Terengganu pula kali terakhir memenangi Piala Malaysia ialah pada tahun 2001 yang ketika itu dibimbing oleh Mat Zan Mat Aris. Setelah kemarau dengan piala, tahun ini Terengganu telah memenangi Piala FA menewaskan Kelantan. Terengganu yang kini dibimbing Irfan Bakti telah menunjukkan peningkatan yang besar setelah Irfan Bakti mengambil alih sebagai jurulatih.

Walaupun sebelum perlawanan akhir ini telah dicemari dengan kontroversi mengenai harga tiket RM50 yang tidak masuk akal oleh FAM ianya sedikit tidak mematahkan semangat kedua-dua penyokong pasukan. Kerajaan kedua-dua negeri juga mengambil inisiatif dengan memberikan subsidi kepada penyokong masing-masing dengan Terengganu mendapat subsidi 50% manakala Negeri Sembilan mendapat 25%. Pemilihan stadium juga terpaksa dianjurkan di Stadium Shah Alam yang kondisi padangnya yang kurang memuaskan ekoran penutupan Stadium Nasional untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Terengganu melangkah ke final sebagai juara Piala FA manakala Negeri Sembilan semestinya mahu merawat luka ditumpaskan Kelantan tahun lepas. Kedua-dua pasukan mempunyai corak permainan yang tersendiri. Terengganu mempunyai tektikal permainan serangan yang cukup baik manakala Negeri Sembilan mempunyai pemain-pemain berpengalaman dan corak permainan yang baik. Mereka mampu merubah keputusan perlawanan dalam minit-minit akhir seperti yang dilakukan semasa menentang Felda United.

Perlawanan dimulakan dengan kedua dua pasukan meletakkan kesebelasan utama terbaik. Trio serangan Terengganu iaitu Manaf Mamat, Ashari Shamsudin dan Hadi Yahya berupaya untuk menggegarkan pertahanan lawan manakala Negeri Sembilan mempunyai Hairudin Omar atau Hai-O yang memiliki teknik timing yang cukup baik ketika bola berada di udara, ditambah dengan hantaran-hantaran lintang oleh S. Kunalan dan Shahurain memberi ancaman untuk gawang Terengganu.

Negeri Sembilan mengawal permainan dengan cukup baik malam ini. Dari wisel permulaan ditiupkan anak didik Azrai Khor ini telah memegang posesi perlawanan. Pertahanan Terengganu yang diketuai kapten pasukan Marzuki juga nampak goyah. banyak kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan mereka. Manakala tektikal serangan Terengganu serba tak menjadi. Terengganu mudah melepaskan bola kepada pihak lawan. Serangan-serangan pantas yang dilakukan mereka mudah dipatahkan oleh pertahanan Negeri Sembilan. Separuh masa pertama berakhir dengan seri.

Masuk babak kedua pertukaran dilakukan oleh Irfan Bakti dengan membawa masuk Helmy Remli menggantikan Mazlizam yang cedera di kepala. Negeri Sembilan terus mengawal permaianan. Namun pada minit ke 60 hasil serangan kilat Manaf menggelecek beberapa pemain pertahanan lawan sebelum melorongkan bola kepada Ashari dan Ashari atau digelar Saha berjaya menewaskan penjaga gol dan meletakkan Terengganu di hadapan 1-0. Terengganu mula merampas kekuasaan permainan selepas itu. Namun hasil kesilapan penjaga gol Sharbinee Alawi yang gagal menangkap kemas hantaran bola S Kunalan pada minit ke 79 telah meletakkan Negeri Sembilan sama level dengan Terengganu 1-1. Pemain-pemain Terengganu yang tidak dapat menerima kesalahan keeper mereka mula menunjukkan prestasi yang tidak memuaskan. Hasilnya ayam tambatan Negeri Sembilan yang juga boleh dikatakan tuah dalam Piala Malaysia merembat bola hasil hantaran Shahurain menggegarkan gawang Terengganu pada minit Ke 84. Kedua-dua gol lewat ini telah menjulang Negeri Sembilan sebagai Juara Piala Malaysia mengalahkan Terengganu dengan keputusan 2-1.

Keseluruhannya perlawanan malam ini memuaskan. Membuktikan mutu pemain-pemain tempatan berada di tahap yang membanggakan. Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mengawal permainan yang cukup. Perlawanan ini juga tidak dicemari dengan insiden-insiden yang tidak diingini. Cuma seperti biasa dentuman-dentuman mercun masih lagi kedengaran dan pancaran-pancaran laser kepada pemain. Selain dari itu, perlawanan ini berlangsung dengan cukup baik. Malam ini, semuanya tidak menjadi buat pasukan Terengganu. Barisan serangan mereka dikawal dengan ketat oleh pertahanan Negeri Sembilan. Negeri Sembilan berjaya mengawal permainan walaupun gawang dibolosi pada awalnya. Kesilapan Sharbinee Alawi memang sesuatu yang tidak boleh diterima. Namun semua kesalahan tidak boleh diletakkan di bahunya seorang. Kesilapan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Apa yang menarik perhatian ialah kelihat Hairudin Omar atau Hai-O di pentas Piala Malaysia. Beliau merupakan seorang pemain yang membawa tuah buat pasukannya. Edisi dua tahun lalu beliau bersama Negeri Sembilan memenangi Piala Malaysia kemudian berhijrah ke Kelantan tahun lepas dan membawa pula Kelantan menjuarainya mengalahkan Negeri Sembilan. Sekali lagi tahun ini bersama negeri Sembilan beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan dan seterusnya menjadikan Negeri Sembilan juara Piala Malaysia. Faktor umur tidak menghalang beliau beraksi dengan stamina yang cukup tinggi selain memiliki teknik tandukan dan timing yang cukup baik di udara. Beliau juga membuktikan yang beliau boleh diharapkan pada waktu yang paling diperlukan.
Akhir sekali, tahniah diucapkan untuk Negeri Sembilan dan untuk pasukan Terengganu jangan bersedih, kerana anda juga adalah pasukan yang bagus cuma nasib tidak menyebelahi. "Majulah sukan untuk negara"!

p/s: bagi sesiapa yang mahu mendapatkan khidmat saya sebagai penulis ulasan bolehlah emel saya. Tidak kira apa topiknya. Saya masih menganggur. Gaji boleh dirunding. HAHA

2 ulasan:

  1. selepas membaca review ini saya berasa begitu teruja. saya rasakan saya tidak perlu untuk menonton siaran bola itu lagi (dan saya boleh tengak cerekarama lakonan johan asari di TV 3). suasana review ini memang suasana di stadium.

    HAHAHAHA! WTH!

    dah sekali kau tulis 'Hairudin Omar atau Hai-O' di perenggan ke-4 tak payah ulang lagi sekali pada perenggan ke-6

    BalasPadam
  2. ini aimi ni. aku dapat kesan dia punya "WTH".

    BalasPadam